Labu di kenali juga sebagai Yaqteen ( Arab),Gourd atau Pumpkin. Di dalam al-Quran, Allah Taala telah menceritakan Labu sebagai buah yang di kurniakan kepada Nabi Yunus a.s. selepas baginda dimuntahkan dari perut ikan Nun.
و انبتنا عليهِ شجرةً مّن يقطين
Maksudnya : Dan kami kurniakan (tumbuhkan) kepadanya (Yunus a.s) sebatang pokok dari jenis Labu - Al-Saffat ayat 146
Ibn Qayyim al-Jawziy dalam kitabnya Tibb al-Nabawiy menyatakan bahawa Yaqteen yang dimaksudkan dalam al-Quran ini adalah juga dikenali sebagai Dabba, Qarr, Labu Manis atau Pumpkin. Ini dijelaskan lagi dalam Sahih Bukhari dan Muslim, dari Anas r.a. meriwayatkan dalam satu kisah bahawa Nabi s.a.w. telah dijemput oleh seorang tukang jahit untuk menjamu sejenis masakan yang di buatnya yang terdiri dari roti yang dibuat dari Barli dan sejenis bubur dari Dabbaa(Labu Manis) dan daging kering. Nabi s.a.w. menjamu makanan dan bubur labu yang disediakan itu sehingga Anas r.a. berkata" Aku mula menyukai Labu sejak melihat baginda s.a.w makan bubur labu "
Terdapat lebih 20 spesies labu diseluruh dunia, dengan jumlah subspesies dan varietinya sehingga menjangkau mencapai angka ratusan. Namun yang selalu di tanam ialah dari jenis Cucurbita maxima (labu manis), Cucurbita ficifolia, Cucurbita mixta, Cucurbita moschata (labu kuning atau labu merah), dan Cucurbita pepo (labu manis).
Khasiat
Pakar dietetik mendedahkan vitamin A dan vitamin C adalah antara dua jenis vitamin yang paling tinggi dalam isi labu. Malah khasiat daripada tumbuhan ini boleh dibahagikan mengikut buah, biji, daun atau bunganya. Selain itu,labu juga mengandungi sumber kalsium, fosforus, zat besi, beta karotin dan serat. Sumber serat atau fiber yang tinggi dalam labu turut berfungsi mengawal nafsu makan.
Selain itu labu dikatakan baik untuk merawat tekanan darah tinggi, penyakit kuning, mengawal diabetes. Daunnya pula boleh dijadikan penawar cirit-birit atau demam. Ramai yang menyangka menikmati kuaci labu sekadar bahan kudapan kosong, malahan tabiat pengambilan biji labu yang dimakan secara teratur dapat mencegah masalah batu ginjal. Satu lagi kebaikan labu ini ialah ia berkhasiat untuk kanak-kanak yang mengalami kecacingan. Biji labu dikeringkan dan ditumbuk halus sebelum dicampur dengan air suam. Tapiskan campuran itu dan airnya diminum sebelum tidur.
Isi labu juga boleh merangsang nafsu makan kanak-kanak yang bermasaalah. Dengan cara hidangan yang menarik dan sedikit teknik maka isi labu boleh dimakan kanak-kanak seterusnya dapat membantu menambah selera makan mereka. Selain itu labu juga berkhasiat untuk merawat masalah rabun terutama rabun malam dan penyakit ketidakseimbangan gula dalam darah. Daun labu juga boleh direbus dan diminum bagi yang mengalami demam dan boleh juga untuk mengobati luka-luka kecil dengan menampalkan daun yang sudah diramas atau ditumbuk padanya.
Begitulah manfaat secara ringkas yang dapat diperolehi dari sayur atau buah labu ini. Inilah antara keistimewaaan tumbuhan yang dijadikan oleh Allah yang telah disebut di dalam Al-Quran Karim yang memberi manfaat kepada manusia. Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan